PUTRAJAYA, 1 Mac- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan pemimpin politik di negara ini supaya tidak menggunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu berhubung titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita terhadap kenyataan dikeluarkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Ahmad Zahid turut menasihatkan pemimpin politik di negara ini supaya tidak menggunakan agama sebagai tunggangan untuk mencapai hasrat politik.
"Saya nasihatkan mana-mana pemimpin parti yang ada latar belakang agama tidak menggunakan ianya sebagai tunggangan untuk mendapat sokongan politik.
"Saya amat menghargai titah Sultan Selangor sebagai amaran bukan untuk orang lain sahaja malah termasuk kepada pemimpin-pemimpin parti tidak terkecuali UMNO supaya tidak melakukan perkara-perkara jelik," katanya kepada media ketika mengulas isu berhubung titah Sultan Selangor terhadap kenyataan dikeluarkan Presiden PAS baru-baru ini.
Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan Surau Bergerak Bas Dua Tingkat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sempena Sambutan Jubli Emas JAWI di halaman Masjid Putra.
Surau bergerak JAWI 2.0 yang mampu menampung kapasiti seramai 35 orang dalam satu masa itu akan ditempatkan di beberapa lokasi seperti di tapak Pasar Malam dan Bazar yang telah dikenalpasti sekitar Kuala Lumpur bagi kemudahan orang ramai terutamanya menjelang Ramadhan nanti.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berharap lebih ramai syarikat dapat mewakafkan bas untuk dijadikan sebagai surau bagi memudahkan orang ramai menjalankan ibadah solat di mana-mana acara yang kekurangan fasiliti tersebut.