fb fb fb fb fb

Elak gejala buli: MTD tambah CCTV, perketat disiplin

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kementerian Pertahanan mengumumkan enam penambahbaikan bagi membanteras gejala buli di Maktab Tentera Diraja (MTD), termasuk larangan pelanggaran disiplin, pertemuan berkala antara putera, pentadbir dan jurulatih, serta penambahan kamera litar tertutup (CCTV) di blok penginapan.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata langkah itu bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar terjamin, selain menguatkuasakan tindakan tegas terhadap pelaku buli.

"Saya selalu ulang di dalam dewan ini, gejala buli bukan sahaja melibatkan tindakan tegas daripada kita. Pembuli juga harus menerima hakikat bahawa mereka juga akan berdepan dengan undang-undang negara," katanya.

Beliau menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dalam membela mangsa buli sepanjang tempoh pengajian mereka.

Adly berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Dewan Rakyat hari ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE