fb fb fb fb fb

Elak 'cuci wang', RoS pantau pertubuhan bermasalah

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail/FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Disember - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memantau secara rawak beberapa pertubuhan yang bermasalah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata pemantauan itu bagi mengelak insiden yang sama berulang selepas sebuah syarikat pertubuhan amal didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober lalu.

Menurutnya, sebelum ini beliau sudah mengarahkan RoS agar memastikan pertubuhan yang berdaftar diwajibkan mengemuka laporan kewangan pada setiap tahun.

"Keputusan Kabinet hari ini mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menyediakan laporan awal mengenai ketidakpatuhan pertubuhan termasuk terlibat dalam aktiviti haram.

“Jadi kita akan sediakan dan bentang pada Jemaah Menteri pada suku pertama tahun hadapan seperti yang diarahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas m ajlis penyerahan replika cek Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) 2023 di sini pada Rabu.

Turut hadiri pada majlis tersebut Ketua Pengarah RoS Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Katanya, pemantauan berterusan perlu dilakukan untuk memastikan setiap pertubuhan mematuhi undang-undang selaras dengan Akta Pertubuhan 1966.

"Ini sebagai langkah berjaga-jaga supaya jangan ada pertubuhan berdaftar itu dijadikan platform untuk aktiviti bercanggah undang-undang, seumpama cuci wang atau biayai kegiatan mengancam keselamatan,” katanya.

Pada 23 November lalu, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 41 akaun bank syarikat sebuah pertubuhan amal yang menjalankan kutipan derma untuk Palestin bagi membantu siasatan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai.

Saifuddin turut mendedahkan sebanyak 54, 642 pertubuhan dibatalkan oleh RoS sejak 1966.

Daripada jumlah itu sebanyak 26 peratus pertubuhan didapati melanggar undang-undang tubuh atau perlembagaan pertubuhan.

"Sejak tiga tahun lepas, RoS telah melakukan proses tapisan ketat terhadap permohonan pertubuhan dalam memastikan pertubuhan berdaftar menjalankan kegiatan memanfaatkan ahli dan menunjukkan pematuhan tinggi kepada undang-undang," katanya.

Sementara itu, Mohd Zulfikar berkata sebanyak 1,118 pertubuhan berdaftar telah dipantau oleh RoS.

Angka itu merupakan yang telah berdaftar dengan RoS sehingga 10 Disember tahun ini yang merangkumi empat kategori iaitu keagamaan, rekreasi, kebajikan dan sosial.

Belanjawan 2023 meluluskan RM20 juta Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti kepada Persatuan Penduduk yang berdaftar di bawah RoS bagi melaksanakan pelbagai aktiviti sukarela untuk keselamatan komuniti setempat.

GRACE AISYAH KEDAYAN