SHAH ALAM, 4 Julai- Selangor menjadi negeri pertama di negara ini berjaya mencipta rekod baharu, nilai ekonomi mencecah sehingga RM406.1 bilion.
Pengiktirafan Jabatan Perangkaan Malaysia itu membuktikan negeri itu berjaya merancakkan aktiviti ekonomi pada paras mencecah RM400 bilion.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, kejayaan itu terbukti menerusi peranan Rancangan Selangor Pertama yang dibentangkan hampir dua tahun lepas bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berkesan.
Jelas Amirudin, purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.43 peratus dari 2021 hingga 2023 turut mengatasi sasaran Rancangan Selangor Pertama.
"Malah, Selangor juga mencatat pertumbuhan ekonomi paling tinggi dengan nilai 5.4 peratus serta purata nilai pelaburan sebanyak RM39.4 bilion menerusi sektor utama yang kompleks.
"Selain itu, pendapatan isi rumah penengah di Selangor turut melepasi sasaran Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dengan pendapatan bulanan terkini kumpulan itu mencapai RM9,983 berbanding RM9,290 menjelang 2025," katanya kepada pemberita selepas pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Tambah beliau, berdasarkan pelaksanaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama dari 2021 hingga 2023, sebanyak 18 peratus projek, program dan inisiatif telah selesai sepenuhnya manakala bakinya sedang berjalan.
Selain itu, Hari Terbuka Kajian Separuh Penggal Rancangan Selangor Pertama turut diadakan di Bangunan Wisma Dewan Negeri Selangor pada hari ini.