Ekonomi negara kekal kukuh, tumbuh 5.2% pada 2025

FOTO Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 April – Ekonomi Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan apabila mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan Tahunan Bank Negara 2025 menunjukkan inflasi 1.4 peratus, terendah dalam tempoh lima tahun.
  • Ini mencerminkan dasar dilaksanakan berada di landasan tepat serta tadbir urus yang baik.
  • Ekonomi dijangka berkembang 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2026 dengan inflasi sederhana 1.5 hingga 2.5 peratus.
  • Malaysia menghadapi cabaran global termasuk konflik di Asia Barat, namun sistem kewangan berdaya tahan melindungi rakyat.

Jelas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pencapaian itu didorong oleh permintaan domestik yang kekal berdaya tahan selain disokong oleh tadbir urus yang baik.

Menurutnya, Laporan Tahunan Bank Negara 2025 turut menunjukkan kadar inflasi berada pada paras 1.4 peratus, iaitu yang terendah dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

“Ini mencerminkan suatu petanda bahawa dasar yang dilaksanakan berada di landasan yang tepat,” katanya menerusi hantaran di X.

Mengulas lanjut, beliau berkata ekonomi negara dijangka berkembang antara 4.0 hingga 5.0 peratus pada 2026.

Pada masa sama, kadar inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus.

Dalam pada itu, beliau mengakui cabaran global termasuk konflik di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga komoditi serta rantaian bekalan.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia berdepan situasi tersebut dengan kesiapsiagaan yang mapan serta disokong oleh sistem kewangan yang berdaya tahan.

“Insya-Allah dengan sistem kewangan yang mempunyai daya tahan, kita akan terus mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan melindungi rakyat,” jelasnya.