
PARLIMEN, 26 Januari– Kerajaan akan terus memantau kemajuan Ekonomi Digital Malaysia bagi tempoh 2025 hingga 2030 selaras dengan hala tuju nasional termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) serta Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia 2026–2030 (RTEDM).
- Kerajaan pantau kemajuan Ekonomi Digital 2025–2030 selaras RMK13 dan RTEDM untuk capai pembangunan berpendapatan tinggi.
- Metrik utama ialah sumbangan sektor ICT kepada KDNK bagi memastikan inisiatif digital sejajar aspirasi ekonomi negara.
- Kementerian galak keterangkuman digital melalui program literasi dan pembangunan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia MyIKD.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pengukuran itu bertujuan memastikan pelaksanaan inisiatif digital negara sejajar dengan aspirasi pembangunan ekonomi berpendapatan tinggi, berdaya saing dan inklusif.
“Antara metrik utama yang digunakan oleh kerajaan ialah sumbangan sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Pada tahun 2024, sektor ICT dan e-dagang menyumbang 23.4 peratus kepada KDNK Malaysia, dengan nilai sebanyak RM451.3 bilion,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, sehingga Jun 2024 jumlah pelaburan digital mencecah RM589.9 bilion, dengan 245,602 peluang pekerjaan diwujudkan serta pendapatan kumulatif RM845.6 bilion.
Kementerian Digital turut menekankan keterangkuman digital melalui program literasi terbuka kepada semua golongan, selain membangunkan Indeks Keterangkuman Digital Malaysia (MyIKD) bagi memantau jurang digital secara berterusan.