
GOMBAK, 16 Mac – Kerangka pengurusan pembiayaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diperkukuh menerusi pemeteraian perjanjian Joint Lead Coordinator (JLC) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan 8 institusi perbankan.
- Mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing bagi penyelesaian pinjaman RMB, lebih tersusun, telus dan berdisiplin.
- Dijangka meningkatkan kepastian kadar pertukaran, mengurangkan pendedahan kepada turun naik pasaran dan meningkatkan kecekapan kewangan projek.
- Perjanjian ini pertama seumpamanya bagi sebuah GLC dan berpotensi menjadi penanda aras pengurusan kewangan projek berskala besar.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pemeterian perjanjian itu bakal mewujudkan satu mekanisme pengurusan risiko pertukaran asing yang lebih tersusun, telus dan berdisiplin dalam menguruskan penyelesaian pinjaman dalam mata wang Renminbi (RMB).
Jelasnya, mekasnisme itu dijangka meningkatkan kepastian kadar pertukaran mata wang dan mengurangkan pendedahan terhadap risiko turun naik pasaran serta memastikan pengurusan kewangan projek dilaksanakan secara lebih cekap.
“Mekanisme ini akan dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama lapan institusi kewangan tempatan dan antarabangsa yang berpengalaman iaitu Maybank, CIMB, RHB Bank, AmBank, United Overseas Bank (UOB), Industrial and Commercial Bank of China (ICBC), Bank of China (BOC) serta China Construction Bank (CCB).
“Penglibatan institusi-institusi kewangan terkemuka ini mencerminkan tahap keyakinan yang tinggi terhadap struktur kewangan projek ECRL serta keupayaan sistem perbankan negara dalam menyokong pembiayaan dan pengurusan risiko bagi projek infrastruktur strategik berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pelantikan Joint Lead Coordinator (JLC) Bagi Pengurusan Risiko FX Projek ECRL dan Penyempurnaan Pembinaan Landasan ECRL Dari Kota Bharu ke Gombak di Terminal Bersepadu Gombak (TBG).
Pemeterian perjanjian JLC ini merupakan pertama seumpamanya di Malaysia bagi sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan berpotensi menjadi penanda aras kepada pengurusan kewangan untuk projek-projek berskala besar pada masa hadapan.
Untuk rekod, pembinaan Projek ECRL berjajaran sepanjang 665-kilometer dan 20 buah stesen itu melibatkan kos sebanyak RM50.27 bilion.
MRL selaku anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan telah mendapat pinjaman berjangk sebanyak RM37.40 bilion daripada The Export-Import Bank of China (CEXIM) pada kadar faedah 3.25 peratus bagi pembiayaan pembangunan projek infrastruktur nasional ini.