KOTA BHARU, 28 Mac- Tahap kemajuan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor mencapai 40.81 peratus.
Berdasarkan kemajuan itu, projek tersebut dijangka siap akhir 2026 mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, untuk di Kelantan sahaja pembinaannya berjalan lancar dan telah mencapai tahap kemajuan hampir 52 peratus.
Ini melibatkan kerja-kerja infrastruktur untuk pembinaan jajaran ECRL merangkumi pemasangan rasuk jejambat (beam launching) yang bermula dari jambatan di Jerus, Pasir Puteh dan kini menghampiri kawasan Padang Raja, Melor.
Manakala kerja-kerja penambakan tanah meliputi 16 daripada 19 lokasi keseluruhan di negeri itu juga sudah pun bermula.
Proses rawatan tanah dan penanaman cerucuk bagi Stesen ECRL di Tunjong, Kota Bharu serta Stesen ECRL Pasir Puteh di Kampung Jeram turut giat di laksanakan.
Datuk Seri Darwis berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar bersama ECRL di Kota Bharu yang turut hadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
Pada majlis itu, MRL turut menyantuni 30 orang anak yatim sekitar Pasir Puteh.