eCOSS larang warga asing beli minyak masak peket bersubsidi

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Pelaksanaan larangan warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi berkuat kuasa 1 Mac ini, akan turut dipantau menerusi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).

RINGKASAN BERITA AI
  • Larangan warga asing beli minyak masak peket bersubsidi berkuat kuasa 1 Mac.
  • eCOSS dan Mobile eCOSS memantau rantaian pengedaran hingga ke pembelian kedai runcit.
  • Rekod transaksi direkod untuk cegah ketirisan, penyeludupan dan penyelewengan.
  • Jualan dihadkan kepada rakyat tempatan dan tindakan tegas untuk pesalah.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam, sistem eCOSS dan aplikasi Mobile eCOSS membolehkan rantaian bekalan dipantau secara digital merangkumi keseluruhan rantaian pengedaran sehingga ke peringkat pembelian di kedai runcit.

Jelasnya, eCOSS digunakan bagi mendaftarkan rekod transaksi pembelian bagi menangani isu ketirisan, serta mengelakkan penyeludupan dan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi.

“Sistem ini membolehkan kita mendapatkan ‘track record’ yang tepat daripada pihak pengilang hingga ke pembeli. Jadi, ia membantu pihak KPDN menangani rungutan orang ramai tentang kesukaran untuk mendapatkan bekalan minyak masak.Dengan penggunaan eCOSS, isu itu dapat diatasi dengan lebih baik. Insya-Allah.”

Beliau turut menekankan bahawa selain larangan terhadap warga asing, peraturan mengehadkan jualan kepada rakyat tempatan akan teruskan bagi memastikan agihan yang lebih adil.

Mengenai larangan pembelian dan penjualan minyak masak peket kepada warga asing bermula 1 Mac ini, Datuk Azman memaklumkan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang ingkar.