fb fb fb fb fb

ECER wujudkan hampir 70,000 peluang pekerjaan - Anwar

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 April- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah merealisasikan pelaburan berjumlah RM41.4 bilion iaitu 84 peratus daripada sasaran RM49 bilion di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) sehingga Mac lepas.

Menerusi Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan itu telah mewujudkan 68,000 peluang pekerjaan dan 23,000 peluang keusahawanan di ECER.

"Dalam tempoh yang sama, ECERDC juga berjaya mencapai RM55.2 bilion pelaburan komited iaitu 79 peratus daripada sasaran RM70 bilion di bawah EMP 2.0.

"Pihak Berkuasa Koridor Ekonomi memainkan peranan penting dalam fasilitasi pelaburan bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Tatakelola perancangan dan keberhasilan projek-projek melalui pihak berkuasa koridor turut perlu diperhalusi dengan terperinci oleh kementerian berkaitan sebelum diluluskan," kata Anwar.

Beliau sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat ECERDC Bilangan 1 Tahun 2024 yang dihadiri oleh menteri-menteri besar yang menganggotai majlis itu.

Katanya, mesyuarat tersebut telah bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) untuk meneliti dan memutuskan semua perkara operasi serta pelaksanaan bagi pembangunan ECER.

Penubuhan Jawatankuasa EXCO itu juga akan membolehkan Majlis ECERDC lebih menumpukan kepada perkara-perkara strategi dan dasar dalam pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM