
KUALA LUMPUR, 29 Mac – Sambutan Earth Hour 2026 menandakan satu langkah lebih progresif apabila acara berskala besar itu dilihat sebagai simbol kesedaran global terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar sejak diadakan kira-kira dua dekad lalu.
- Earth Hour adalah simbol kesedaran, menyeru tindakan berterusan walaupun selepas lampu dipadamkan selama satu jam.
- WWF-Malaysia komited memulihara biodiversiti, melindungi gajah, harimau Malaya dan penyu serta memperkukuh pemuliharaan hutan dan tindakan iklim.
- Sokongan masyarakat amat penting, perubahan besar boleh bermula daripada tindakan kecil yang konsisten dan kolektif.
- Program komuniti seperti Scavenger Hunt dan bazar menyatukan pelbagai lapisan masyarakat serta meningkatkan penglibatan awam.
Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Sofia Lim berkata, kempen selama satu jam dari 8.30 malam hingga 9.30 malam itu merupakan tanda komitmen terhadap pemuliharaan alam semula jadi.
“Sepanjang lebih 20 tahun ini, WWF termasuk WWF-Malaysia terus komited melindungi biodiversiti, termasuk spesies ikonik seperti gajah, harimau Malaya dan penyu di samping memperkukuh usaha pemuliharaan hutan serta tindakan terhadap perubahan iklim.
“Sokongan berterusan daripada masyarakat amat penting dalam menjayakan usaha ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada acara WWF-Malaysia Earth Hour di sini.
Menurut Sofia, kempen berkenaan bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu gerakan global yang menyatukan komuniti dalam usaha kolektif melindungi bumi.
“Tindakan memadamkan lampu adalah simbol kesedaran, namun mesej sebenar adalah keperluan mendesak untuk perubahan yang lebih besar dan berterusan.
“Ia mengajak semua pihak untuk terus bertindak walaupun selepas satu jam berlalu,” katanya lagi.
Melalui Earth Hour, WWF-Malaysia bersama rakyat negara ini membuktikan bahawa perubahan besar boleh bermula dengan tindakan kecil. Selagi ia dilakukan bersama, secara konsisten dan penuh kesedaran.
Program yang berlangsung di Pavilion Bukit Jalil itu turut menampilkan pelbagai aktiviti menarik seperti Scavenger Hunt serta bazar komuniti yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.