MEKAH, 15 Mei - Kira-kira 8,000 pertanyaan berkaitan permasalahan ibadah haji diterima menerusi aplikasi e-Taib iaitu talian ibadah sejak diperkenalkan Lembaga Tabung Haji (TH), tahun lalu.
Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tanah Suci Shahrin Awaludin berkata, perkhidmatan yang mula diperkenal pada 2023 itu mendapat sambutan menggalakkan daripada jemaah.
Setakat selasa, sebanyak 115 pertanyaan diterima bukan sahaja daripada jemaah yang berada di Tanah Suci dan yang berada di Malaysia.
Menurutnya, antara soalan yang sering ditanya adalah berkaitan larangan ihram serta persoalan tentang fiqah wanita.
"Untuk menjawab apa juga persoalan yang berkaitan dengan ibadah, sebab tu Alhamdulillah ini banyak membantu jemaah, tidak perlu beratur panjang, maknanya untuk berjumpa dengan guru agama, untuk menyelesaikan persoalan berkaitan hukum.
"Biasanya kalau soalan biasa kita akan jawab dengan segera, tetapi jika soalan-soalan yang memerlukan rujukan kepada pakar rujuk kita beri masa 24 jam. Dalam masa 24 jam biasanya kita akan beri jawapan," kata Shahrin, di sini.
Seramai 40 Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) dilantik Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu menjawab setiap persoalan dikemukakan jemaah termasuk menerusi aplikasi e-Taib.
Pasukan itu terdiri daripada pakar rujuk, guru-guru agama dan kaunselor.
Talian e-Taib iaitu talian ibadah bagi memudahkan orang ramai terutamanya bakal-bakal haji yang bukan sahaja berada di Tanah Suci malah di tanah air.