fb fb fb fb fb

e-Locker menjadikan pengurusan warga asing lebih cekap

PUTRAJAYA, 13 Januari- Sistem baharu "e-Locker" yang bakal diperkenalkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkemas pengurusan warga asing seterusnya menjadikan lebih baik, cekap dan berkesan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin inisiatif itu akan memanfaatkan penggunaan data raya atau big data secara optimum dalam menguruskan warga asing.

"Pengurusan warga asing juga harus kita berikan tumpuan Insya-Allah bukan hanya di Semenanjung begitu juga di Sabah dan Sarawak. Segala apa yang kita lakukan ini kita mahu melihat kejayaan untuk menguruskan warga asing yang ada dalam negara kita. Apabila mereka masuk kita tahu keberadaan mereka, katanya semasa menyampaikan amanat Tahun Baharu 2022 KDN di sini.

Jelasnya, sistem e-Locker sudah diperkenalkan di beberapa negara termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan India.

Pengenalan sistem itu juga bakal memberi manfaat kepada kerajaan, negara sumber, majikan juga pekerja asing apabila dokumen berkaitan seperti pasport, kontrak kerja, visa dan pas bekerja boleh diakses secara digital.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata KDN juga terus komited dalam meningkatkan ketelusan proses pemerolehan kewarganegaraan bagi pemohon yang layak berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang dan peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Selain itu usaha untuk mengarus perdana pendigitalan dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat juga akan diteruskan bagi tahun ini menerusi pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan Identiti Digital Nasional (IDN).

Media Baharu