fb fb fb fb fb

e-Invois dilaksana secara menyeluruh pada 1 Julai 2025 - Steven

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim

KUALA LUMPUR, 30 November- Penguatkuasaan sistem e-Invois kepada pembayar cukai akan dilaksana secara berfasa dengan pelaksanaan menyeluruh bermula pada 1 Julai 2025.

Untuk fasa pertama, e-Invois secara mandatori akan mula dikuatkuasakan khusus kepada pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta bermula pada 1 Ogos 2024.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim memaklumkan bagi pembayar cukai mengikut kategori lain-lain pendapatan, penguatkuasaan e-Invois akan dilaksana pada fasa seterusnya.

Menurutnya, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) akan melaksanakan sesi libat urus secara berterusan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan maklum balas industri demi memastikan pelaksanaan peralihan kepada sistem itu lancar serta mengambil kira setiap keperluan.

"HASiL juga telah menyediakan garis panduan umum dan garis panduan spesifik yang perlu diteliti oleh perniagaan dalam membantu mereka membuat perubahan atau menaik taraf yang melibatkan sumber manusia, proses perniagaan dan sistem perakaunan dan sebagainya.

"Jika memerlukan penerangan lanjut dalam memastikan pelaksanaan mengikut garis masa yang ditetapkan, pembayar cukai boleh menghubungi HASiL bagi khidmat nasihat dan bantuan," katanya ketika menjawab pertanyaan yang dikemukakan Tan Sri Datuk Low Kian Chuan dalam sidang Dewan Negara di sini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM