KUALA LUMPUR, 2 Jun- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil optimis proses rasmi membentuk rangkaian kedua 5G dijangka dapat dimulakan selepas 21 Jun ini.
Jelasnya, syarikat telekomunikasi terlibat dalam pelaksanaan model 5G dwirangkaian itu bersedia untuk menandatangani pegangan ekuiti dalam syarikat Digital Nasional Berhad (DNB).
"Semua syarikat telekomunikasi harus menyiapkan "share subscription agreement" pegangan ekuiti dalam DNB menjelang 21 Jun. Jadi, mesyuarat pada Sabtu bagi meneliti beberapa aspek untuk memastikan semua perancangan selesai dan tersusun."
"Rangkaian 5G ini paling bermanfaat kepada pihak industri dan PMKS. Justeru, kita memberi penekanan terhadap perkara ini dalam mesyuarat semalam," kata Fahmi kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Badminton Junior ‘Road to NCT’ di ibu negara.
Semalam, empat kementerian utama iaitu Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengadakan perbincangan menyeluruh bagi merangka strategi serta pelan tindakan dalam pelaksanaan rangkaian kedua 5G.