fb fb fb fb fb

Durian segar dijangka dieksport ke China September atau Oktober

FOTO FAIL

PONTIAN, 27 Jun - Eksport durian segar ke China dijangka dapat dilakukan selewat-lewatnya pada September atau Oktober tahun ini. 

Pengeksportan durian segar itu adalah hasil sebahagian daripada 14 Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan China pada 19 Jun lalu. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, menerusi MOU bersejarah itu, China telah memberi kebenaran untuk mewujudkan protokol prosedur bagi dipatuhi bagi memenuhi syarat keperluan biokeselamatan di negara itu. 

"Kita jangka boleh mula mungkin bulan September atau Oktober, kita harap kumpulan durian segar daripada Malaysia boleh sampai ke negara China dan yang penting pengusaha itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan China," kata Arthur.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Libat Urus bersama-sama petani dan nelayan tempatan, di sini.

Tahun lalu, negara ini mengeksport buah-buahan bernilai RM2 billion dengan 56 peratus daripada jumlah itu hasil daripada eskport durian. 

Menerusi majlis itu, seramai 49 penerima terdiri dari peladang, penternak dan nelayan menerima insentif berjumlah RM7.57 juta.

TETITIA YUSOFF