IPOH, 7 Disember- Dewan Undangan Negeri Perak hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan 2024 yang memperuntukkan RM1.35 bilion.
Seramai 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 dengan 19 wakil daripada blok kerajaan dan 24 blok pembangkang sejak Isnin lepas.
Pada Jumaat lepas, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad membentangkan Belanjawan 2024 berkenaan yang bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ .
Belanjawan itu menggariskan lima fokus utama iaitu Kesejahteraan Rakyat, Tadbir Urus Projek Berkepentingan Negeri, Pembangunan Modal Insan dan Belia, Kelestarian Alam Sekitar serta Keterjaminan Bekalan Makanan berdasarkan pelan Perak Sejahtera 2030.
Saarani turut mengumumkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan kerajaan negeri meningkat kepada RM1.094 bilion setakat 7 Disember.
"Jika pada pembentangan belanjawan minggu lalu saya memaklumkan kutipan hasil dan terimaan pembangunan kerajaan setakat 25 November 2023 adalah berjumlah RM1.05 bilion, angka itu dilaporkan sudah meningkat menjadi RM1.094 bilion setakat 7 Disember 2023, iaitu pertambahan kira-kira RM44 juta dalam tempoh 12 hari," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Dalam persidangan sama, kerajaan negeri mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebulan gaji kepada 48 ADUN serta Speaker Dewan Undangan Negeri.
Saarani berkata kerajaan negeri turut bersetuju untuk meneruskan peruntukan pengurusan kepada kesemua 59 Pusat Khidmat ADUN sebanyak RM7,000 sebulan.
“Dengan RM7,000 sebulan dapatlah membiayai bayaran elaun pegawai khas Pusat Khidmat masing-masing, membayar sewa pejabat, membayar bil utiliti dan lain-lain yang berkaitan.
"Sebagai buah tangan pada persidangan kali ini, kerajaan negeri bersetuju untuk membayar BKK satu bulan gaji kepada 48 ADUN (yang tidak menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan Speaker,” katanya.
Ujarnya, pada belanjawan kali ini kerajaan negeri juga menyediakan peruntukan berjumlah RM45.5 juta bagi menyelaras, menambah baik dan melicinkan urus tadbir termasuk mengukuhkan sistem penyampaian kerajaan di semua 59 kawasan DUN di Perak.