fb fb fb fb fb

Dua warga asing dalang sindiket pasport terbang diberkas JIM Johor

Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir menunjukkan barang kes yang dirampas

JOHOR BAHRU, 27 Mac- Dua lelaki warga asing yang mendalangi sindiket pasport terbang diberkas Jabatan Imigresen Malaysia, JIM Johor, menerusi Ops Serkap, Ahad lalu.
 
Mereka yang aktif sejak dua tahun lalu itu, ditangkap ketika sedang mencari pelanggan di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.
 
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, kedua-dua suspek berusia 30 dan 35 tahun itu, giat menawarkan perkhidmatan lanjutan permit dan passport palsu kepada pendatang asing tanpa izin (PATI). 
 
Sehubungan itu, 11 pasport India dan Pakistan serta wang tunai hampir RM4,000 dirampas.
 
"Sasaran utama sindiket ini adalah warga asing yang majoritinya terdiri daripada individu warga Pakistan dan India yang mempunyai masalah permohonan lanjutan permit kerja dan pas lawatan sosial.

"Caj bayaran dikenakan sekitar RM 650 hingga RM 3,000 bagi satu permohonan,"katanya.
 
Dalam perkembangan berasingan, 33 PATI ditahan di Muar dan Johor Bahru, antara Ahad hingga semalam.
 
26 warga asing ditahan di sebuah kilang perabot di Parit Punggor, Muar pada Ahad, manakala tujuh lagi ditahan di Jalan Ayer Molek dan Ulu Tiram, Johor Bahru, semalam.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), seksyen 56(1)(I) dan seksyen 56(1A) Akta Imigresen 1959, serta 12(1) (f) Akta Passport 1966. 
 

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE