JOHOR BAHRU, 16 November- Dua veteran iaitu Ir. Ts. Dr. Abd Jalil Hassan, 62 tahun dan Dr. Maroti Khokale, 66 tahun berjaya menamatkan pengajian pada peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Ia sekali gus membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang.
Abd Jalil Hassan merupakan bekas jurutera dan pernah berkhidmat di Jabatan Perairan dan Saliran (JPS), memilih untuk bersara awal bagi memulakan syarikat perunding kejuruteraan sendiri.
"Mungkin untuk setengah individu sebagai karier tetapi semasa saya bekerja dalam bidang ini saya menemui perkara baharu. Perkara baharu ini paling sesuai untuk dikongsi orang ramai dalam bentuk penerbitan.
"Penerbitan dalam PhD ini selalunya akan diterima dalam industri, jadi sebab itu saya kuatkan semangat untuk menghasilkan kajian berkenaan supaya boleh diguna pakai untuk jurutera lain di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen UTM ke-68 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Skudai di sini.
Beliau dan Maroti mengambil masa kira-kira lapan tahun untuk menamatkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Awam serta Pengurusan Strategik.
Meskipun terdapat pelbagai cabaran yang perlu dilalui terutama ketika pandemik COVID-19, kedua-duanya memasang tekad untuk menghabiskan pengajian demi berkongsi manfaat kepada masyarakat.
Marothi menyifatkan keseimbangan masa dalam melakukan sesuatu amat penting selain bijak mengendalikan sesuatu kajian.
"Perkara paling utama adalah menyeimbangkan masa. Saya mempunyai komitmen dalam bidang profesional, saya merupakan pengarah projek,pengurus besar. Jadi semasa mengendalikan projek ia memerlukan masa yang banyak terutama apabila sedang belajar PhD.
"Seimbangkan masa merupakan perkara paling besar dalam hidup saya terutama apabila saya mempunyai komitmen keluarga isteri dan anak yang sedang membesar ketika itu," katanya.