Dua tongkang ditahan, gagal patuhi undang-undang perkapalan dan imigresen

Foto Maritim Malaysia Zon Maritim Miri

MIRI, 12 April – Dua tongkang tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri dalam satu operasi bersepadu di perairan Miri awal pagi Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tongkang terbabit gagal mengemukakan Domestic Shipping License (DSL), dokumen pendaftaran dan sijil statutori di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
  • Enam kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah, melanggar Akta Imigresen 1959/1963.
  • Vesel dikendalikan kru Malaysia, Indonesia dan Myanmar, berusia antara 23 hingga 65 tahun.
  • Perintah tahanan dikeluarkan; semua vesel dan kru diiring ke pejabat Maritim untuk siasatan lanjut.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad menerusi kenyataan memaklumkan penahanan dilakukan antara pukul 1.15 hingga 2.05 pagi di kedudukan sekitar 2.45 hingga 2.8 batu nautika barat laut Tanjung Baram.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua tongkang gagal mengemukakan dokumen penting termasuk Domestic Shipping License (DSL), dokumen pendaftaran kapal serta sijil statutori seperti ditetapkan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Enam kru turut dikesan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/1963,” menurut kenyataan itu.

Kesemua vesel terbabit dikendalikan kru Malaysia, Indonesia dan Myanmar, berusia antara 23 hingga 65 tahun.

Susulan kesalahan tersebut, perintah tahanan telah dikeluarkan dan kedua-dua tongkang bersama kru diiring ke pejabat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.