fb fb fb fb fb

Dua termasuk bayi enam bulan maut dalam nahas di Telupid

FOTO JBPM SABAH

KOTA KINABALU, 30 Mac- Dua individu, termasuk seorang bayi berusia enam bulan, maut dalam kemalangan di hadapan Klinik Kesihatan Telupid pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.28 pagi sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi kejadian, kira-kira 100 kilometer dari balai BBP Beluran.

"Kemalangan itu melibatkan tujuh sekeluarga, terdiri daripada empat dewasa, dua kanak-kanak, dan seorang bayi. Enam daripada mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dihantar ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," katanya.

Bagaimanapun, bayi berusia enam bulan serta seorang lagi individu yang masih belum dikenal pasti disahkan meninggal dunia, manakala lima mangsa lain mengalami kecederaan ringan.

Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 8.30 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada ancaman bahaya lain di lokasi kejadian.

Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang dari Labuan ke Semporna untuk menyambut Aidilfitri ketika kejadian berlaku.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE