JOHOR BAHRU, 13 April- Dua lelaki maut dalam insiden tragis awal pagi tadi di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru–Kota Tinggi, termasuk seorang yang cuba membantu mangsa kemalangan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.10 pagi itu, seorang lelaki warga Myanmar, dipercayai dalam lingkungan usia 30-an, maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dan hilang kawalan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Beberapa minit kemudian, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang kebetulan melalui kawasan tersebut berhenti untuk memberikan bantuan. Namun, malang menimpa apabila dia dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah belakang.
"Penolong mangsa disahkan maut di tempat kejadian akibat impak perlanggaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.
Pemandu kereta, yang turut mengalami kecederaan, dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Suspek telah ditahan polis bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.