Dua rentung dalam kebakaran di Kuarters Woodman

Foto BBP Lopeng

MIRI, 18 Januari – Dua individu ditemukan rentung dalam satu kejadian kebakaran melibatkan di Kuarters Woodman, Estate Hostel Baram di sini awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua individu rentung dalam kebakaran di Kuarters Woodman, Estate Hostel Baram.
  • Unit A musnah sepenuhnya; mangsa dikenal pasti sebagai Berain Skam dan Terit Lenjau, masing-masing 37 tahun.
  • Penghuni Unit B (lima dewasa, satu kanak-kanak) berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.
  • Pemadaman awal oleh pekerja ladang menggunakan alat pemadam dan pam air; bomba melakukan pemantauan dan serahkan mangsa kepada PDRM.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak, Unit A kuarters tersebut yang didiami seorang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa didapati terbakar sepenuhnya dan kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan rentung.

Mangsa dikenal pasti sebagai Berain Skam, 37 tahun, dan Terit Lenjau, 37 tahun. Sementara itu, penghuni Unit B terdiri daripada lima orang dewasa dan seorang kanak-kanak berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak.

Kebakaran melibatkan sebuah struktur kuarters kayu berkembar setingkat, satu blok dua pintu, dengan anggaran keluasan 1,200 meter persegi yang musnah 100 peratus.

Menurut laporan tersebut, pemadaman awal telah dilakukan oleh pekerja ladang menggunakan 30 unit alat pemadam api dengan tiga unit pam air. Api berjaya dipadam dan berjaya dikawal sepenuhnya oleh pekerja ladang sebelum ketibaan pasukan bomba.

Pasukan bomba hanya menjalankan pemantauan di sekitar kawasan kejadian dan menyerahkan mangsa kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada pukul 9.16 pagi. Terdahulu Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.59 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 8.20 pagi berikutan jarak ke lokasi 40 kilometer.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan