fb fb fb fb fb

Dua produk kosmetik dikesan mengandungi racun

Foto Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia

KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Dua produk kosmetik dibatalkan notifikasi kerana dikesan mengandungi racun berjadual dan diarah menghentikan penjualan dan pengedaran di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan berkata, produk terbabit ialah Snow White Treatment Cream dan Kak Ell Krim Rawatan yang mengandungi racun merkuri.

"Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.

Individu yang melakukan kesalahan bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

TETITIA YUSOFF