
OSAKA, 17 Februari – Dua pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dipilih menjadi Imam Tarawih di Osaka, Jepun, sepanjang bulan Ramadan ini.
- Pelajar UTM dipilih sebagai Imam Tarawih di Osaka sepanjang Ramadan hingga 23 Mac.
- Pelantikan susulan jemputan rasmi daripada Pusat Dakwah Jepun.
- Kejayaan dianggap penghormatan dan pengiktirafan terhadap kualiti akademik dan sahsiah UTM.
- Kedua-dua pelajar tergolong dalam Five Excellence Track Teras Teknohafiz, menekankan al-Quran dan kepimpinan.
UTM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelajar terbabit ialah Muhammad Danish Armah Shah, Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Sumber Manusia), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta Iman Solehin Zulyadi, Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pelajar berkenaan akan berkhidmat sebagai Imam Tarawih bermula hari ini sehingga 23 Mac, susulan jemputan rasmi daripada Pusat Dakwah Jepun.
“Pemilihan ini merupakan satu penghormatan kepada universiti dan mencerminkan pengiktirafan terhadap kualiti akademik serta sahsiah pelajar UTM di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan tersebut.
UTM turut menjelaskan, kedua-dua pelajar berkenaan adalah antara graduan terbaik dalam Five Excellence Track Programme – Teras Teknohafiz yang menekankan penguasaan ilmu profesional, penghayatan al-Quran serta pembangunan keperibadian berteraskan adab.
“Program ini dibentuk bagi melahirkan graduan seimbang yang cemerlang dalam bidang akademik dan pada masa sama mempunyai kekuatan spiritual serta nilai kepimpinan,” jelas kenyataan itu lagi.