DUNGUN, 24 Julai - Kegembiraan tujuh sahabat yang sedang bercuti berkelah di kawasan perkelahan, Air Terjun Lubuk Kain, Hulu Dungun bertukar tragedi selepas dua dari mereka ditemukan lemas kejadian 1 tengahari tadi.
Manakala seorang lagi berjaya menyelamatkan diri.
Mangsa Muhammad Dani Danish Kamal dan Nor Mokhriz Mohamad berusia 20 tahun ditemukan di dasar Air Terjun pada kedalaman kira-kira sepuluh meter pada 1.40 petang manakala seorang lagi berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar tahun pertama jurusan kejuruteraan di Universiti Of Seoul, di Korea, yang berasal dari Kuantan, Pahang datang ke kawasan perkelahan tersebut pada pukul sepuluh pagi.
Menceritakan kejadian itu, rakan mangsa, Mohd Hazid Azhad Mohd Helmi, 20, sebelum kejadian, mereka baru sahaja terjun dari satu tebing yang tinggi ke dalam kawasan air terjun tersebut.
Ketika hendak naik ke darat, secara tiba-tiba dia dan dua mangsa telah ditarik oleh arus ke tengah kawasan lubuk menyebabkan mereka tidak dapat menyelamatkan diri.
Menurut Mohd Hazid Azhad, dia sempat berpaut pada pelampung yang dilemparkan penduduk manakala dua lagi rakannya sudah tidak kelihatan.