fb fb fb fb fb

Dua peguam positif COVID-19, kes rasuah Ahmad Zahid ditangguh

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan perbicaraan kes rasuah berhubung dana Yayasan Akalbudi (YAB) yang dihadapi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada 22 Ogos ini, berikutan dua peguam belanya dijangkiti COVID-19.

Peguam bela, Aiman Abdul Rahman, yang mewakili Ahmad Zahid, memberitahu Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, bahawa peguam utama kes itu, Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh, dijangkiti COVID-19.

Menurut Aiman, mereka turut memohon tarikh perbicaraan hari ini ditukar kepada sebutan dan perbicaraan seterusnya pada 22 Ogos.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob tidak membantah perkara itu.

(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan
kes rasuah berhubung dana Yayasan Akalbudi)

Hakim Sequerah kemudian berkata berdasarkan alasan yang dikemukakan pihak pembelaan, tarikh perbicaraan hari ini dilapangkan dan akan bersambung pada 22 Ogos ini.

Ahmad Zahid yang memakai baju kurta putih hadir pada prosiding hari ini.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid sepatutnya disoal balas pihak pendakwaan berhubung pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Media Baharu