fb fb fb fb fb

Dua nelayan hilang ditemukan selamat di perairan Indonesia

Dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini pada 16 Disember lepas, ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia / Foto PDRM

GEORGE TOWN, 22 Disember - Dua nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini pada 16 Disember lepas, ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, ACP Sazalee Adam berkata ketika ini Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sedang berusaha untuk membawa pulang Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25 di sempadan dan dijangka tiba di Jeti Batu Maung di sini, awal pagi esok.

“Kapal APMM sedang dalam perjalanan mengambil mangsa di sempadan dan ia memakan masa lama berikutan faktor cuaca.

“Mangsa dijangka tiba 2 atau 3 pagi esok dan akan berehat dahulu di atas kapal sebelum diturunkan di Jeti Batu Maung kira-kira 7 pagi,” katanya di sini hari ini.

Beliau memaklumkan sidang media akan diadakan pagi esok bagi memperincikan mengenai penemuan nelayan berkenaan serta operasi membawa pulang mereka.

Semalam, Sazalee memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan pada 5 petang selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka.

Beliau berkata pasukan keselamatan telah menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka.

Muhammad Ikmal Hakimi dan Nor Hasrul hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai hanyut di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini, Isnin lepas.

2212 NELAYAN HILANG INDON 2Foto Bernama

Dalam pada itu, keluarga dua nelayan yang dilaporkan hilang itu bersyukur kerana kedua-dua mangsa tersebut ditemukan selamat.

Ismail Ibrahim, 51, bapa kepada Muhammad Ikmal Hakimi berkata dia dihubungi pihak polis kira-kira 10 pagi ini memaklumkan penemuan anaknya dan rakan di peraian Acheh dalam keadaan selamat.

"Allahuakhbar, hanya itu saya dapat ungkapkan dan dalam masa sama saya melakukan sujud syukur kepada Allah apabila dapat berita mereka selamat dan kami dimaklumkan yang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam perjalanan untuk membawa mereka pulang ke negara ini.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, ibunya Hanita Ismail, 47, berkata dia yakin anak keempat daripada lima beradik itu masih hidup.

"Itulah dikatakan naluri seorang ibu, memang kami sangat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa kami dan kita semua," katanya.

Mohamad Fitri Badiuzzaman, 38, bapa tiri kepada Nor Hasrul Abdullah juga berkata mereka sekeluarga bersyukur selepas dimaklumkan anaknya itu ditemukan selamat dan ketika ini tidak sabar menanti kepulangannya.

"Alhamdulillah, Allah dengar doa-doa kami agar dia ditemukan selamat...kalau tanya perasaan memang bersyukur dan gembira sangat. Ini hari paling gembira untuk kami," katanya.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN