BENTONG, 7 Januari- Dua lelaki maut, selepas lori yang membawa muatan besi terbabas ke dalam gaung di kilometer 42.1 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kuantan dekat Bentong, malam tadi.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, pihaknya menerima menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.16 malam dan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian.
"Jasad dua mangsa berkenaan hanya berjaya dikeluarkan selepas lebih 12 jam terperangkap dan tersepit dalam lori tersebut yang terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
"Mangsa pertama dikenali sebagai Norazuat Mokhtar dikeluarkan pada pukul 7.47 pagi tadi manakala mangsa kedua, identitinya masih belum dikenal pasti, dikeluarkan pada pukul 9.30 pagi selepas tersepit di bahagian pemandu dan bahagian penumpang.
"Bagi mengesan mangsa di bawah timbunan besi, pihak bomba mendapatkan bantuan Unit K9 dan dua anjing pengesan, Grouse dan Lady; bersama tiga anggota membuat pencarian di sekitar kawasan kejadian selain bantuan rakan-rakan strategik lain.
"Anggota kemudiannya menggunakan peralatan khas serta mengguna gergaji bagi membawa mangsa keluar untuk diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut," katanya.
Jelasnya, operasi tamat pada pukul 10.05 pagi tadi.