fb fb fb fb fb

Dua maut, kereta dinaiki bertembung treler

FOTO BOMBA PAHANG

KUANTAN, 27 Disember- Dua individu maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah treler berhampiran Kampung Sungai Miang, Pekan malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.22 malam sebelum sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Pekan dan Nenasi bergegas ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kejadian melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil dipercayai bertembung dengan treler dan mengakibatkan kereta terbabit terputus dua serta terbakar.

"Seorang mangsa lelaki dipercayai pemandu kereta itu tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala mangsa wanita tersepit dan terbakar di dalam kereta itu," katanya.

Jelasnya, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE