ALOR SETAR, 18 Disember- Dua remaja lelaki maut manakala empat yang lain cedera dalam nahas membabitkan dua kereta di Jalan Lencong Barat Alor Setar kira-kira pukul 9.10 malam tadi.
Dua mangsa yang maut tercampak keluar dari kenderaan dan salah seorang melambung ke atas bumbung kereta.
Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner (ACP) Siti Nor Salawati Saad dalam satu kenyataan memaklumkan pemandu dan penumpang belakang kereta berusia 18 tahun disahkan maut di lokasi kejadian .
"Tiga lagi penumpang merupakan rakan sebaya cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah.
"Siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa dari arah Plaza Tol Alor Setar Selatan menghala ke Masjid Aman berlanggar dengan sebuah lagi kereta dipandu seorang lelaki berusia 74 tahun yang sedang membuat pusingan U dari laluan bertentangan," menurut kenyataan itu.
Lelaki terbabit mengalami kecederaan di bahagian kepala dan tangan kanan, dirawat di sebuah hospital swasta di Alor Setar.
Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Difahamkan kesemua remaja terbabit baru menamatkan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) dari sebuah sekolah persendirian di Alor Setar.