fb fb fb fb fb

Dua maut, dua cedera kereta terbabas ke dalam gaung

Keadaan kereta yang terjatuh selepas terbabas ke dalam gaung sedalam 20 kaki di kilometer (KM) 152 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Nerek, Maran

MARAN, 4 Januari- Dua maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dipandu terbabas ke dalam gaung sedalam 20 kaki di kilometer (KM) 152 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Nerek, di sini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata, 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran dan Temerloh bersama empat jentera segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.07 pagi.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati kemalangan membabitkan sebuah kereta terbabas ke dalam gaung sedalam 20 kaki.

"Terdapat empat wanita didapati tersepit di dalam kereta terbabit dan berjaya dikeluarkan pihak bomba.

"Dua mangsa disahkan meninggal dunia manakala dua lagi cedera parah," kata Zulfadli Zakaria.

Mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI