
GEORGE TOWN, 11 Januari – Dua lelaki maut dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan tiga buah motosikal di Jalan Burma, pagi tadi.
- Tiga motosikal terbabit dalam kemalangan akibat perubahan laluan tiba-tiba dari lorong kiri ke simpang kanan.
- Dua penunggang lelaki maut; satu disahkan di tempat kejadian, satu lagi meninggal semasa menerima rawatan di HPP.
- Punca kematian disahkan kecederaan kepala; kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian terbabit kira-kira pukul 12.35 tengah hari.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 11.56 pagi apabila seorang penunggang motosikal lelaki berusia 71 tahun dipercayai menukar laluan secara tiba-tiba dari lorong kiri ke simpang kanan, Lengkok Burma.
Tindakan terbabit menyebabkan dua penunggang motosikal lain yang sedang bergerak lurus di lorong tengah gagal mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan dari arah belakang.
Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal pertama disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi penunggang lelaki berusia 41 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada pukul 1.15 tengah hari.
Sementara itu, seorang penunggang wanita berusia 19 tahun hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki kanan.
Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Perubatan HPP mengesahkan punca kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan kecederaan di bahagian kepala.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.