KEPALA BATAS, 16 Disember- Dua lelaki maut akibat tersepit dalam kereta yang dinaiki selepas terlibat kemalangan jalan raya membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Sungai Rokan, sini, awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai nahas tersebut pada pukul 2.41 pagi dan menggerakkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Nazril Syazwan Khalil.
Sebaik tiba, bomba mendapati terdapat tiga mangsa lelaki, dengan dua daripadanya tersepit dalam sebuah kenderaan.
Bomba berjaya mengeluarkan mangsa berusia 31 dan 32 tahun itu, namun kedua-duanya disahkan telah meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Sementara itu, seorang mangsa, 46, yang menaiki sebuah lagi kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kedua-dua mayat kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi bomba ditamatkan pada pukul 4.04 pagi.