fb fb fb fb fb

Dua mangsa bot karam di Kapit ditemukan orang awam

Dua mayat mangsa insiden bot karam di Kapit ditemukan orang awam

KAPIT, 9 Mac- Dua daripada empat mangsa yang hilang dalam insiden bot karam di Sungai Baleh, di sini ditemukan orang awam hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit Timothy Barat berkata, mayat pertama dijumpai di kawasan Lanang Sibu sekitar pukul 11.00 pagi tadi.

Manakala mayat kedua ditemukan terapung di hadapan Terminal Bot Ekspres Kapit kira-kira pukul 4.00 petang tadi.

"Mayat pertama dibawa ke Hospital Sibu dan identiti mangsa dikenal pasti sebagai Jack Balan, 45 tahun.

"Mayat kedua pula dikenal pasti sebagai Sarjan Jonathan Lambert, 51 tahun melalui pakaian seragam polis yang dipakainya semasa kejadian," kata Timothy Barat.

Isteri mangsa, Lucy Bony ketika ditemui memberitahu beliau mengecam mendiang suaminya melalui tatu harimau dan pedang yang ada di lengan sebelah kanan suaminya.

"Saya sudah nampak gambar dia di telefon bimbit polis di Kapit dan saya yakin itu adalah dia. Baju dia memang saya kenal, saya tidak ingat tulisan di baju itu tetapi logo baju itu saya kenal. Rambut dan muka dia juga memang dia," katanya.

Kali terakhir Lucy bercakap dengan mendiang suaminya adalah sekitar pukul 2.00 petang pada hari kejadian. Ketika itu suaminya ada memberitahu berkenaan air pasang besar yang berlaku di kawasan tersebut.

Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) hari ini disertai oleh 38 orang anggota terdiri daripada pihak polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pejabat residen dan Lembaga Sungai-sungai Sarawak.

Sementara itu dua lagi mangsa yang masih hilang adalah Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 27, dan Emerson John Nain, 47 tahun.

Pada petang Khamis lalu, sebuah bot yang dinaiki lima individu karam di Sungai Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar kawasan air berpusar di sungai berkenaan.

Dalam insiden itu seorang mangsa selamat dikenali sebagai Moses Ngui.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI