fb fb fb fb fb

Dua lokasi "hot spot" kemalangan di Negeri Sembilan dikenal pasti

FOTO FAIL

SEREMBAN, 24 Januari - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan mengenal pasti dua lokasi "Hot Spot" kemalangan yang menjadi tumpuan pemantauan sempena cuti Perayaan Tahun Baharu Cina 2025, di negeri itu.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, Penguasa Kanan Bomba II Mohamed Faiz Muin Mohamed Rasidi, lokasi tersebut ialah dari bersempadanan Negeri Sembilan/ Melaka iaitu dari Kilometer 222 hingga ke Hentian Senawang dan dari Kilometer 267 bermula dari Bandar Ainsdale hingga ke Bandar Sri Putra.

"Ada dua kawasan yang memang dikatakan "Hot Spot" satu ialah dari sempadan Melaka kilometer 222 hingga ke Hentian Senawang dan satu lagi ialah dari kawasan Ainsdale hingga ke Bandar Seri Putra. Faktor yang biasa disebabkan angin lintang dan kawasan itu tidak ada liputan daripada segi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan biasanya faktor terbesar disebabkan kecuaian," kata Faiz Muin.

Beliau berkata demikian pada Kempen Kesedaran dan Keselamatan Awam Musim Perayaan dan Op Raya Tahun Baharu Cina Tahun 2025 Peringkat Jabatan Bomba dan Peneyelamat Malaysia Negeri Sembilan, di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Tambahnya, JBPNS turut melaksanakan pemantauan bermotosikal bagi melancarkan tugas rondaan sekali gus mengelak terperangkap dalam kesesakan semasa bantuan menyelamat dilaksana.

TETITIA YUSOFF