KEMAMAN, 19 Oktober -Aktiviti perkelahan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila dua daripada tujuh ahli keluarga lemas ketika mandi-manda di Pantai Penunjuk, Kijal, petang semalam.
Mangsa, Norhidayah Zakaria, 39, berasal dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia di Hospital Kemaman (HK) kira-kira pukul 5.42 petang.
Seorang lagi mangsa, anak saudaranya, Urshia Medina Noor Didi Hilmi, 12, dari Ampang, Selangor, turut disahkan meninggal dunia lebih awal di Klinik Kesihatan Kijal pada pukul 5.23 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli dalam kenyataan berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang mandi di pantai berkenaan bersama lima lagi ahli keluarga mereka.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka sedang mandi dan tiba-tiba telah ditarik ombak ke lokasi yang lebih dalam menyebabkan lima daripada mereka hampir lemas. Mereka berjaya diselamatkan ahli keluarga dan orang awam yang berada di lokasi kejadian. agaimanapun dua daripada mereka telah disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kijal dan Hospital Kemaman," katanya menerusi kenyataan itu.
