IPOH, 18 Mac – Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan dua treler di Kilometer 332.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah, DSP Mohd Fadzil Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila treler bermuatan pasir melanggar bahagian belakang treler bermuatan kapas yang berhenti di lorong kecemasan susur masuk kawasan rehat dan rawat lebuh raya tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, pemandu dan kelindan treler membawa pasir, masing-masing berusia 45 dan 23 tahun, disahkan maut di lokasi kejadian. Manakala, pemandu treler kapas berusia 43 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Mohd Zulhafiz Zainuddin di talian 017-4006662 bagi membantu siasatan.