KOTA BHARU, 21 Januari- Polis Kelantan menahan dua lelaki dipercayai berkait kes gangguan pemberi pinjam wang (Ah long) selepas menyimbah cat di kediaman mangsanya.
Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan pada Khamis lalu di Kota Bharu.
Tangkapan dibuat selepas laporan mangsa apabila kediamannya disimbah cat merah yang turut terkena kereta jirannya pada 14 Januari lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, satu nota amaran turut ditinggalkan oleh pihak Ah long.
Berdasarkan keterangan mangsa, pada tahun 2021 mangsa ada membuat pinjaman wang melalui aplikasi 'mariwang'.
Mangsa telah membuat pinjaman RM300 dan menerima wang pinjaman sebanyak RM150.
Lelaki itu kemudiannya telah membuat bayaran semula pinjaman sebanyak RM1,000 kerana bayaran tersebut dibuat melalui applikasi sama.
Bagaimanapun Ah long telah meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM10,000 namun mangsa tidak mampu membuat bayaran tersebut dan telah memadam aplikasi berkenaan.