fb fb fb fb fb

Dua lelaki tempatan didenda RM5,000 lakukan provokasi terhadap pegawai imigresen

(Dua lelaki tempatan didenda RM5,000 setiap seorang kerana melakukan provokasi)

KUALA LUMPUR, 3 September- Dua lelaki tempatan didenda RM5,000 setiap seorang kerana melakukan provokasi terhadap Pegawai Imigresen yang sedang menjalankan tugas.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan.

Hukuman lima bulan penjara akan dikenakan sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut.

"Hukuman ini dijatuhkan selepas mereka mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 56 (1) (g) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah seksyen 56 (1) (aa) Akta yang sama." Ujar Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Tertuduh iaitu Mior Abdul Maheer bin Mior Muhammad, 32 tahun dan Jason Soo Kai Soon, 26 tahun mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Puan Emelia Keswati binti Mohamad di Mahkamah Sesyen Jenayah 12 Kuala Lumpur pada 30 Ogos 2022.

(Pegawai imigresen yang diprovok ketika bertugas semasa Operasi Penguatkuasaan
di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2022)

Selain mengeluarkan kata-kata kesat, salah seorang daripada mereka turut meludah pegawai imigresen yang sedang melakukan tugas semasa Operasi Penguatkuasaan di Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada 10 Ogos 2022.

Jabatan itu juga menegaskan bahawa sebarang tindakan provokasi dan ancaman kepada mana-mana Pegawai Imigresen yang sedang menjalankan tugas akan diambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang sedia ada.

Tiada kompromi akan diberikan ke atas mana-mana individu yang cuba menghalang atau membuat provokasi.

Media Baharu