fb fb fb fb fb

Dua lelaki bebas pertuduhan memiliki dadah

AYER KEROH, 30 Oktober- Dua lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, atas kesalahan memiliki 137.797 kilogram (kg) pelbagai jenis racun, 2.061 kg heroin dan 5.39 liter kloroform.
 
Hakim Mohd Radzi Hakim Mohd Radzi Abdul Hamid berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Chua Shiau Boon, 48 tahun dan Seow Book Boon, 45 tahun, apabila gagal memanggil seorang saksi penting iaitu Chan Eng Chin, 35 tahun.
 
Katanya, wujud kelompongan apabila pihak pendakwaan gagal mengemukakan Chan Eng Chin di mahkamah kerana puntung rokok dan Asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijumpai di dalam rumah tidak boleh mengaitkan tertuduh dengan milikan dadah kerana ada kesan cap jari individu lain.
 
Justeru, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.
 
Terdahulu, Chua dan Seow menghadapi lapan pertuduhan pindaan iaitu memiliki 134 kg kafein (tiga pertuduhan), 2.549 kg chloroquine (dua pertuduhan), 2.061 kg heroin, 1.248 kg nitrazepam dan 5.39 liter kloroform.
 
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat 125 Tranquerah Residence, Jalan Tengkera di sini pada 2 Oktober 2018 kira-kira pukul 9.45 pagi.
 
Chua dan Seow dituduh di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
 
Mereka juga dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 30(5) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Kedua-dua tertuduh juga dituduh di bawah Seksyen 30(3) Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
 
Chua diwakili peguam Tiu Leong Kim manakala Seow diwakili Andrew Lourdes.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM