fb fb fb fb fb

Dua kementerian disusun semula, PM harap Jemaah Menteri pamer prestasi terbaik

Datuk Seri Anwar pada sidang media pengumuman rombakan kabinet Kerajaan Madani di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya

PUTRAJAYA, 12 Disember - Rombakan kabinet Kerajaan Madani menyaksikan dua kementerian disusun semula berdasarkan keperluan semasa.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kementerian Komunikasi dan Digital pula dipecahkan kepada Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi.

Katanya, perubahan itu dilakukan susulan cabaran teknologi semasa.

“Dengan pusat data baharu, dan minat baharu dalam kecerdasan buatan (AI), terdapat keperluan untuk meningkatkan pemahaman pelajar di pelbagai peringkat. Ia satu tugas yang sangat mencabar,” katanya

Beliau berkata demikian pada pengumuman rombakan kabinet Kerajaan Madani, di sini.

Sementara itu, Mengulas mengenai rombakan kabinet sekiranya prestasi menteri tidak memuaskan, Anwar berharap barisan Jemaah Menteri mempamerkan prestasi terbaik sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"Saya harap Insya Allah, kalau keadaan prestasi baik, memuaskan dan tidak ada tekanan atau permasalahan, saya tidak fikir harus ada apa-apa perubahan untuk kita terus ada rencana empat tahun akan datang sehingga PRU," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN