Dua keluarga mangsa kebakaran di Banting terima sumbangan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni dua keluarga terlibat kebakaran di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting 6 Februari lalu. / Foto Facebook Anwar Ibrahim

BANTING, 20 Februari – Nasib dua keluarga yang hilang tempat berteduh akibat kebakaran di Jalan Nuri, Kampung Seri Cheeding, Banting dua minggu lalu mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi dua keluarga mangsa kebakaran di Banting.
  • Beliau menyampaikan sumbangan kepada keluarga terlibat selepas solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah.
  • Anwar berharap sumbangan dapat meringankan beban dan mendoakan ketabahan keluarga.
  • Kebakaran awal Februari memusnahkan tiga rumah dan menyebabkan kehilangan seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun.

Beliau menziarahi dua keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan sebelum beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Banting.

Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berharap agar sumbangan yang disalurkan itu dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga terlibat.

“Peristiwa ini amat menyayat hati, lebih-lebih lagi apabila salah sebuah keluarga terlibat kehilangan insan tersayang, iaitu anak lelaki berusia tiga tahun yang terkorban selepas terperangkap dalam kebakaran tersebut.

“Saya mendoakan agar kedua-dua keluarga dikurniakan ketabahan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” katanya.

Dalam kejadian awal pagi 6 Februari lalu, seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun maut selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan tiga rumah di kampung berkenaan.