PEKAN, 14 Januari- Dua kali dilanda banjir dalam tempoh singkat, bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditempuhi apatah lagi melibatkan harta benda dan kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.
Situasi itu antara yang perlu dialami pekebun pisang seluas lapan ekar di Chini apabila ke semua tanaman musnah dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Bagi Ahmad Hariri Ishak, 38 tahun, harapan menuai hasil kebun pisang yang diusahakannya sejak 5 tahun lalu di Kampung Sungai Duri Chini, di sini hanya tinggal kenangan.
Hariri terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000 apabila 4,000 batang pokok pisang yang ditanam rosak dan sebahagiannya tumbang.
“Untuk tuaian kali ini, kami anggar boleh tuai pada bulan satu lah boleh kutip hasil pertama. Tetapi banjir bulan 12 menyebabkan habis satu kebun musnah jadi tuaian memang tak dapat apa-apa memang kosonglah. tak ada apa-apalah,"jelasnya kepada Wartawan RTM Roziehanis Abdul Rahman yang menemui beliau di kebunnya.
Mengenai jumlah kerugian, ia jauh lebih tinggi kerana tahun pertama Hariri menanam pokok pisang sehingga 8 ekar berbanding hanya 2 ekar pada tahun-tahun sebelum ini.
"Anggaran untuk tuaian yang pertama kita dapat dalam 120 ribu dan untuk tuaian bulan ke tiga pula untuk 4 bulan kemudiannya 120 ribu lagi," katanya.
Jelas Hariri lagi, banjir tahun ini lebih teruk kerana berlaku dua kali dalam tempoh masa singkat berbanding tahun lepas sekali sahaja dan paras air banjir tidak terlalu tinggi.
"Tapi kali ini tinggi dan dengan dua kali menyebabkan habis semua pokok musnah... selalunya takat pinggang sahaja dalam 5 kaki, tetapi kali ni dalam 10 kaki. Bencana banjir kali ini paling teruk sejak mengusahakan tanaman itu." kata Hariri.
Bercerita mengenai banjir, gelombang pertama menyebabkan kebun Hariri ditenggelami air selama 2 minggu.
Bagaimanapun, selepas banjir surut selama 3 hari, gelombang ke dua pula melanda menyebabkan kebunnya kembali dilanda banjir selama 2 minggu.
Ketika menceritakan peristiwa itu, Hariri dilihat agak sedih apatah lagi dia kehabisan modal untuk mengusahakan kebun semula. Namun Hariri terus bertekad untuk mengusahakan kembali tanamannya secara berperingkat.
Ketika ini fokus Hariri adalah kepada kerja-kerja pembersihan dengan memotong pokok yang mati serta rosak.