KUANTAN, 15 Mac- Dua petugas media kerajaan Pahang terselamat dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Kilometer 196, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) berdekatan Gambang, Kuantan, semalam.
Menurut Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi Dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, kemalangan melibatkan jurufoto, Radin Mohd Nurhilmi Nordin dan petugas juruaudio visual, Najmuddin Zahid, masing-masing dari Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).
"Mereka ketika itu dalam perjalanan ke lokasi tugasan Majlis Perasmian Masjid Kampung Binjai dan Majlis Berbuka Puasa di Lipis; yang disempurnakan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Kedua-dua mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan stabil.
"Kedua-duanya sedang dirawat di Hospital Universiti Islam Antarabangsa, Kuantan," katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Amizar yang dalam perjalanan ke destinasi sama, sempat memberhentikan kenderaannya untuk membantu kedua-dua mangsa.
Katanya, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan pihak pengurusan lebuh raya itu turut memberi bantuan kepada kedua-dua mangsa tersebut.