fb fb fb fb fb

Dua individu ditahan, Polis rampas 9.82 kilogram ganja


GEORGE TOWN, 11 Januari- Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta dan merampas 9.82 kilogram ganja bernilai RM24,570 daripada mereka di Jalan Masjid Negeri di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pengawal keselamatan dan pengusaha kedai makan berusia 51 tahun itu ditahan pada 7.45 malam ketika kedua-duanya berada di dalam kereta berkenaan dan dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah tersebut kepada pembeli.

"Penahanan dilakukan hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak sebulan lepas. Pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemukan 10 ketulan mampat ganja seberat 9,828 gram bernilai RM24,570.

"Siasatan mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket dan menjualnya semula untuk pasaran tempatan sejak tahun lepas. Semua ganja itu boleh digunakan oleh seramai 18,656 penagih dadah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata, selain penahanan kedua-dua lelaki itu, polis turut menyita kereta bernilai RM30,000 itu dan wang tunai RM35,140.

Beliau berkata seorang daripada mereka positif terhadap dadah dan kedua-duanya kini direman enam hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya menahan 380 individu termasuk dua anggota polis berpangkat Konstabel dan Lans Koperal sejak 1 Januari hingga 9 Januari lepas kerana kesalahan berkaitan dadah antaranya membekal, memiliki dan didapati positif terhadap dadah.

Beliau berkata ujian air kencing ke atas dua anggota polis tersebut dijalankan oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

"Fokus kami tahun ini memang mahu membanteras kegiatan pengedaran dadah di Pulau Pinang dalam usaha mengurangkan penagih dadah kerana mereka ini antara penyumbang kepada kes jenayah.

"Ujian air kencing melibatkan pegawai dan anggota polis memang dijalankan secara berkala dan mengejut bagi memastikan pasukan polis bebas daripada dadah.

Konstabel yang positif terhadap methamphetamine itu sedang dalam tahan kerja semasa ujian air kencing dijalankan ke atasnya manakala Lans Koperal pula sedang bertugas," katanya. -BERNAMA

Media Baharu