KOTA BHARU, 6 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menahan dua individu dan merampas 4,500 liter minyak diesel dalam Ops Bersepadu Pencegahan Penyelewengan Barang Kawalan di Bachok, pagi semalam.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, dua lelaki tempatan berusia 40-an dan 50-an itu masing-masing pemandu dan kelindan ditahan pada pukul 7.50 pagi di sebuah stesen minyak di Kampung Tengah, Perupok, Bachok.
Ketika ditahan, suspek sedang mengisi diesel ke dalam tangki menggunakan pam penyedut yang diubahsuai di belakang lori yang dilitupi kanvas bagi mengaburi pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku membuat pembelian pengisian ke dalam tangki skid secara berulang di beberapa stesen minyak sekitar negeri itu yang akan dibawa ke sempadan untuk diselewengkan.
"Maksudnya Ops Tiris ni bukan berlaku di Kawasan sempadan lagi ianya sudah mula memasuki ke kawasan lain. Sebab itu tugas kami semakin mencabar terutama di musim perayaan. Jadi kami dengan bekerjasama dengan semua agensi lain terutama kawalan di sempadan.
"Kawasan sempadan ini digunakan oleh penduduk tempatan oleh kedua-dua belah pihak untuk mencari punca pendapatan. Sekarang ini modus operandinya dimulakan pada awal pagi," katanya kepada pemberita selepas Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini.
Keseluruhan nilai rampasan diesel termasuk kenderaan yang disita dianggarkan berjumlah RM135,335.
Kes akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, pemilik stesen minyak akan ditahan untuk diambil tindakan bawah akta sama, sekiranya didapati bersubahat atau sebaliknya.