
KUALA KEDAH, 29 Januari – Dua buah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Kilang Baja, Kampung Masjid Lama di sini, malam tadi.
- 20 anggota bomba digerakkan dari BBP Jalan Raja dan BBP Alor Setar untuk operasi pemadaman.
- Kebakaran melibatkan dua rumah jenis B dan sebuah kedai runcit, kemusnahan sekitar 70 peratus.
- Operasi menggunakan tiga aliran lima pancutan, kebakaran dikawal pada pukul 8.42 malam.
- Tiada mangsa terlibat; punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba (PgKB) I Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.08 malam.
Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja dan BBP Alor Setar digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis B dan sebuah kedai runcit, dengan tahap kemusnahan sekitar 70 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, operasi pemadaman menggunakan tiga aliran lima pancutan dan kebakaran berjaya dikawal pada pukul 8.42 malam.
Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Berjaya, Kuala Kedah, Jalan Kundur, Kilang Tebu dan Alor Mengkudu turut membantu operasi di lokasi.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.