fb fb fb fb fb

Dua bot nelayan ditahan, gagal kemuka dokumen pengenalan diri sah

Foto FB Maritim Perak

LUMUT, 5 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua bot nelayan tempatan kelas B dengan lapan nelayan termasuk tekong dan kru selepas dikesan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan beroperasi di kawasan yang dilarang.

Penahanan dilakukan di kedudukan 6.5 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-lomba dan 6.6 batu nautika barat daya Tanjung Sungai Tiang, kira-kira pukul 11.35 dan 11.40 pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kedua-dua bot yang ditahan dikesan sedang menjalankan aktiviti perikanan oleh pasukan peronda Op Sayong, Op Pintas dan Op Tiris di sekitar perairan Perak.

"Pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot dikendalikan dua tekong warga tempatan bersama enam kru warga tempatan dan Myanmar berusia lingkungan 36 hingga 67 tahun.

"Tiga kru warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kedua-dua bot beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan," kata Mohamad Shukri menerusi satu kenyataan.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan kira-kira 400 kilogram ikan campur di atas kedua-dua bot tersebut.

Kesemua nelayan ditahan manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

TETITIA YUSOFF