fb fb fb fb fb

Dua beranak maut, kereta dinaiki terbabas ketika elak kera melintas

Mangsa, Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya, Omi Kalsom Man, 69, yang berasal dari Kampung Haji Ngah, Bedong disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan di lokasi

BALING, 1 September- Dua beranak, anak dan ibu meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan, dipercayai cuba mengelak haiwan melintas di Simpang Tiga Kuala Bakong, Jalan Malau-Kuala Ketil,Baling pukul 6.12 petang semalam.

Mangsa, Siti Norhasliza Kamarudin, 26, dan ibunya, Omi Kalsom Man, 69, yang berasal dari Kampung Haji Ngah, Bedong disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan di lokasi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, DSP Charan Ai Wan berkata, kenderaan itu dipandu suami mangsa, Mohd Fadzil Othman, 27, datang dari arah kawasan rekreasi Sungai Sedim, Kulim menghala ke Bedong, Sungai Petani.

Beliau berkata, tiba di lokasi, tiba-tiba seekor kera dipercayai melintas jalan menyebabkan Mohd Fadzil cuba mengelak ke kiri jalan. Katanya bagaimanapun, ia hilang kawalan lalu termasuk ke laluan bertentangan dan terbabas ke dalam semak.

"Kedua-dua mangsa tercampak keluar daripada kereta dan mengalami kecederaan parah di kepala serta badan,"katanya.

Charan berkata, ketika kejadian Siti Norhasliza duduk di tempat duduk penumpang depan manakala Omi Kalsom berada di belakang.

Beliau berkata, dua anak mangsa Lufiya Mikayla Mohd Fadzil, 2, dan Lufh Mikhael, 3,serta Mohd Fadzil dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan.

Mayat keduanya itu dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat .

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE